Kursus dron bantu tingkat hasil pertanian

Peserta kursus asas pengendalian dron anjuran Masjid Al Huda, Tebuk Matau.
Peserta kursus asas pengendalian dron anjuran Masjid Al Huda, Tebuk Matau.
A
A
A

BAGAN SERAI - Masjid Al Huda Tebuk Matau, Gunung Semanggol di sini pada Sabtu, mengambil inisiatif mengadakan kursus asas pengendalian dron bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian.

Kursus dengan kerjasama Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan itu menyasarkan golongan belia berusia 13 hingga 35 tahun kalangan ahli kariah masjid.

Pengerusi masjid, Hashim Dahalan berkata, perkhidmatan dron telah mengubah landskap pertanian konvensional dan penggunaannya perlu diperluas di daerah itu yang terkenal dengan kawasan jelapang padi.

"Kursus ini adalah batu asas kepada program induk Pembentukan Gagasan Modal Insan yang akan berkesinambungan dengan kursus teknikal 'trouble shooting' dan 'drone upgrades' bersama pihak pengeluar peralatan dron nanti.

"Ini sebagai persediaan program latihan yang bertauliah kerana matlamat kita untuk memartabatkan modal insan dalam bidang pertanian sebanding dengan kerjaya lain," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Teknologi dron kini boleh digunakan bagi aktiviti menyembur racun dan baja cecair di petak sawah padi dan mampu menjamin hasil pengeluaran makanan dengan lebih optimum.

Hashim berkata, kursus sama akan diadakan secara berfokus selama empat bulan mengambil kitaran musim pertanian dari penyediaan tanah hingga musim tuaian.

"Menerusi kursus ini, kita berharap dapat menyediakan operator pertanian yang berkualiti bukan sahaja penguasaan kemahiran teknologi tetapi juga akidah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!