Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023: PM
BERA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad berkata, kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lepas, yang merupakan belanjawan terbesar pernah disediakan melibatkan peruntukan RM372.3 bilion.
"Apabila kita mengumumkan bajet dalam Parlimen, itu bermaksud kita telah mempunyai duit untuk melaksanakan setiap yang dijanjikan... sudah ada duit cuma (bajet) belum lulus lagi.
"Kalau mahu bajet yang cantik sebegini dilaksanakan, undilah kita dan barulah (bajet) boleh dibentang semula dan diluluskan," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.
Pada Ahad, beberapa media melaporkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan inti pati Bajet 2023 kerana mendakwa antara lain kerajaan kekurangan dana dan kurang kecekapan untuk melaksanakan projek.
Ismail Sabri juga menegaskan bajet itu, yang dibuat dengan mencakupi semua lapisan masyarakat, menyasarkan manfaat kepada akar umbi dan bukannya hanya 'taikun' seperti dakwaan sesetengah pihak.
Perdana Menteri berkata, perbelanjaan pembangunan antaranya melibatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya dan jambatan, turut membabitkan kontraktor kecil dengan mengambil contoh projek kecil dan sederhana melibatkan peruntukan RM3.7 bilion, akan memanfaatkan kira-kira 5,000 kontraktor kelas G1 hingga G4.
"Tambahan pula projek yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Infrastruktur luar bandar, siapa yang mendapat manfaatnya? Setiap projek pembangunan faedah adalah kepada kepada akar umbi termasuk semua masyarakat Orang Asli.
"Untuk kesihatan, saya mengarahkan supaya menambah peruntukan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak kerana klinik desanya terlalu daif, begitu juga untuk aspek pendidikan, turut ditambah di Sabah dan Sarawak kerana sekolahnya begitu daif. Ini bukan soal kontraktor besar tetapi untuk kebaikan rakyat," katanya.
Ismail Sabri juga menempelak tindakan pembangkang yang gagal menunaikan manifesto yang dicanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga akhirnya menyebabkan Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan kenyataan manifesto bukan kitab suci yang wajib ditunaikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!