Orang hilang angkara lembaga misteri, ini penjelasan polis

Surat palsu yang tular kononnya daripada IPD Kuala Kangsar meminta penduduk Kuala Kangsar berhati-hati dengan kes orang hilang.
Surat palsu yang tular kononnya daripada IPD Kuala Kangsar meminta penduduk Kuala Kangsar berhati-hati dengan kes orang hilang.
A
A
A

IPOH - Pihak polis menafikan berlaku kes orang hilang menerusi satu penyebaran surat palsu menggunakan logo polis dan alamat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, surat yang tular itu palsu dan bukan dikeluarkan oleh pihak polis IPD Kuala Kangsar.

Katanya, polis IPD Kuala Kangsar akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut supaya siasatan dapat dibuat terhadap penyebaran surat itu.

"Surat bukan daripada polis. Selama saya di sini tak pernah lagi berlaku kejadian seumpama itu terutama di Bandar Diraja Kuala Kangsar dan kita akan lakukan siasatan mengenai penyebaran surat itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-212 di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim dalam kenyataan ringkas berkata, siasatan akan dibuat untuk mengenal pasti pihak yang membuat surat tersebut dan menyebarkannya.

Terdahulu, surat berkenaan tular di media sosial meminta orang ramai mengawasi anak jagaan masing-masing.

Menurut surat tersebut, ia dikeluarkan selepas kononnya berlaku kejadian orang hilang.

Di dalam surat yang bertarikh 29 Mac itu turut meminta penduduk tempatan supaya tidak membiarkan anak mereka berkeliaran atau keluar rumah pada waktu malam kerana terdapat satu lembaga hitam dan putih berkeliaran di kawasan Kuala Kangsar, Sayong Lembah, Sayong Tebing, Kota Lama Kanan dan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!