46 pendaki terperangkap kepala air di Telaga Tujuh
LANGKAWI - Seramai 46 pendaki terperangkap di air terjun Telaga Tujuh di sini dalam kejadian kepala air pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, semua mangsa dipercayai telah membuat pendakian ke atas puncak seawal jam 4 pagi sebelum sampai di puncak pada jam 7.30 pagi.
Beliau berkata, kesemua pendaki kemudiannya berehat selama 30 minit sebelum turun dari puncak telaga berkenaan berikutan hujan.
"Apabila sampai di kawasan aliran sungai, pendaki terbabit tidak dapat melintasi sungai tersebut akibat air terlalu deras, lalu menghubungi bomba untuk diselamatkan.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi terus bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau memaklumkan, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati pendaki gunung berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang terperangkap di air terjun itu.
"Komander operasi melaporkan bahawa keadaan di tempat kejadian hujan lebat dan arus deras ekoran terjadi kejadian kepala air," katanya.
Sayani memaklumkan, anggota penyelamat kemudiannya membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai untuk anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap.
Beliau berkata, operasi masih berjalan dan hujan masih berlarutan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan pihaknya menerima maklumat orang awam terperangkap di kawasan terbabit pada jam 10.35 pagi.
Beliau memaklumkan, operasi menyelamatkan semua mangsa masih dilakukan dan bomba serta polis berada di lokasi bagi memberi bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!