Syed Saddiq cadang panjangkan cuti Deepavali
SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Ahad mencadangkan agar kerajaan memanjangkan cuti Deepavali yang disambut selama satu hari pada masa ini.
Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Muar berkata, cuti yang diberikan selama satu hari itu tidak mencukupi kepada mereka yang menyambutnya.
"Ramai yang bertanya saya, kenapa cuti Deepavali satu hari sahaja? Kalau Hari Raya dan Tahun Baharu Cina dua hari.
"Kebanyakannya pelajar universiti yang adukan. Isnin cuti, esoknya dah kena masuk kelas. Satu hari memang tak cukup," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Syed Saddiq dalam masa sama turut berkongsikan tangkap layar diterimanya tentang luahan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang kecewa terpaksa menyambut cuti Deepavali pada tahun ini selama satu hari.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga melahirkan rasa simpati kepada mereka berkenaan perkara tersebut.
"Kesian mereka. Nak sambut Deepavali pun terkejar-kejar nak balik universiti," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!