'Sokong calon telus, ikhlas, integriti tinggi'

Lebih 75,000 ahli PPKM disaran supaya tidak memilih calon PRU15 hanya berdasarkan parti politik tertentu. Gambar kecil: Wan Mahmood
Lebih 75,000 ahli PPKM disaran supaya tidak memilih calon PRU15 hanya berdasarkan parti politik tertentu. Gambar kecil: Wan Mahmood
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 75,000 ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) disaran supaya tidak memilih calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya berdasarkan parti politik tertentu.

Presidennya, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, sebaliknya trend pengundian yang bakal dilaksanakan oleh ahli PPKM adalah mengikut dasar antaranya mengundi calon yang bersifat telus, berintegriti tinggi dan bebas daripada sebarang pertuduhan mahkamah.

Menurutnya, dasar lain termasuklah memilih calon yang berjiwa Rukun Negara, penyokong kuat Perlembagaan Malaysia dan patuh kepada kontrak sosial yang ditandatangani untuk mencapai kemerdekaan Malaysia.

“PPKM ialah badan berdisiplin yang mana ahli-ahlinya mengambil sikap dan pandangan yang telah dipersetujui oleh pemimpin yang mewakili ahli di seluruh tanah air.

“Sejak 31 Ogos lalu, kita telah membuat keputusan tidak akan menyokong mana-mana parti politik kerana kita hanya akan sokong calon yang telus, ikhlas dan berintegriti tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tentang keperluan untuk rakyat mengubah corak pemilihan calon pilihan raya dengan menilai mereka berdasarkan aspek kewibawaan, integriti dan kompeten untuk menerajui negara.

Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Dr Sabariah Baharun berkata, rakyat tidak boleh lagi memilih calon berdasarkan kepartian, sebaliknya perlu melihat kepada tiga aspek tersebut.

Dalam pada itu, Wan Mahmood berpendapat, kebanyakan pemimpin politik ketika ini dilihat menabik dada dengan megah dan yakin bahawa mereka telah bersedia masuk ke gelanggang untuk merebut kuasa dalam Parlimen dan mendirikan kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Dalam keadaan sedemikian, tidak hairanlah lebih dari 75,000 ahli persatuan ini yang tertanya-tanya apakah peranan mereka dalam PRU15 yang akan datang?

“Pemimpin-pemimpin politik hari ini hanya mampu membuat analisis berasaskan data yang diperoleh oleh jentera persatuan mereka di akar umbi,” kata beliau.

Tambahnya, mereka malah tidak mendapatkan pandangan yang lebih holistik dan menilai kemampuan serta kekuatan pihak lain.

“Mereka hanya dapat laporan daripada kakitangan pertubuhannya sendiri di akar umbi, yang sudah pastinya akan memberi gambaran bahawa mereka telah melakukan yang terbaik dan cenderung membuat laporan yang menjurus ke arah kekuatan dan kemenangan parti.

“Sedangkan ahli-ahli PPKM yang juga berada di akar umbi dan tidak terlibat dengan aktiviti politik kepartian boleh memberi pandangan yang lebih holistik dan tidak mirip kepada pandangan mana-mana parti politik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!