PM punyai rekod cemerlang pulihkan negara: Reezal Merican
![Reezal ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Kepala Batas di Kubang Menerong.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/10/16/1946687.jpg)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia jelas terlihat sejak Ismail Sabri mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan pada tahun lalu.
“Alhamdulillah, beliau diuji tetapi berjaya mengekalkan momentum. Beliaulah memulakan pembukaan sempadan, meletakkan kehidupan kembali kepada normal dan memastikan pemulihan ekonomi berlaku secara besar-besaran.
“Beliau pastikan keyakinan rakyat untuk kembali berada dalam kehidupan biasa, pastikan rakyat daripada komuniti antarabangsa kembali menanam keyakinan kepada negara kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Dewan Konvensyen Perda, Kubang Menerong di sini pada Ahad.
Reezal yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, hanya dalam tempoh singkat, pelbagai perkara dapat dilakukan Perdana Menteri termasuklah berjaya menurunkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus kepada 3.4 peratus.
Katanya, kadar pertumbuhan pada suku kedua tahun 2022 juga meningkat sehingga mencecah 8.9 peratus dan kemungkinan besar akan mencecah sehingga sembilan peratus pada suku ketiga.
“Bukanlah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri tiada masalah. Soal inflasi naik, barang naik, namun beliau ada pengalaman untuk campur tangan. Beliau turut pastikan ada subsidi yang luar biasa daripada RM30 bilion biasanya, dinaikkan sehingga RM 77 bilion.
“Biar projek kerajaan lain batal, tapi hatta untuk rakyat jangan dihentikan, sebab apa, sebab beliau (Ismail Sabri) datang daripada pengalaman, beliau pernah menjawat Menteri Pertanian, Menteri KKLW (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), beliau tahu denyut nadi rakyat,” katanya.
Reezal Merican berkata, ia juga disokong dengan prestasi baik menteri kabinet UMNO dalam pentadbiran Ismail Sabri.
“Semua menteri UMNO tidak menggagalkan aspirasi harapan rakyat bila diberikan amanah.
"Mereka genggam habis-habisan, tidak berpura-pura, tidak berlakon.. sebab apa? sebab menteri UMNO dah sebati khidmat untuk rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!