Tok Mat mampu menang besar di Rembau: Khairy

Tangkap layar video Khairy dengan Tok Mat ketika hadir pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau.
Tangkap layar video Khairy dengan Tok Mat ketika hadir pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau.
A
A
A

SEREMBAN - Penyandang Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya yang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mampu menang besar kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ucapan itu dititipkan Khairy menerusi video yang dikongsi pada Instagramnya yang dirakam ketika hadir pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau yang dihadiri seramai 860 perwakilan di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menerusi video itu, Khairy dilihat bersalam dengan Mohamad atau Tok Mat dengan keterangan dalam Bahasa Inggeris 'Handing over Rembau Parliament to @mohamadhjhasan after three rewarding terms as MP'.

"Insya-Allah Tok Mat akan menang besar dan terus menjaga Rembau dengan cemerlang", tulisnya lagi.

Bagaimanapun media tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan menyaksikan persidangan itu kerana ia berlangsung secara tertutup.

Menurut sumber, sebelum itu Khairy turut difahamkan telah menyatakan keterbukaannya menyerahkan kerusi itu kepada Tok Mat di dalam ucapannya pada persidangan terbabit.

Malah beliau turut memberitahu tidak akan berpindah keahlian dari Rembau dan akan terus setia bersama UMNO.

Ucapan Khairy itu membuatkan ramai para perwakilan menitiskan air mata dan bersyukur isu kerusi Rembau akhirnya dapat diselesaikan secara baik.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang terharu dan menangis. Rasanya itu kali pertama Khairy nyatakan secara rasmi kepada kami semua.

"Selama ini beliau hanya bercakap kenyataan itu di media saja. Apa-apa pun beliau seorang pemimpin muda yang bagus," katanya.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan Mohamad memaklumkan Khairy akan diberikan tempat yang sesuai untuk mewakili parti itu pada PRU15.

Mohamad berkata, ia berikutan Khairy merupakan pemimpin muda yang berkaliber dan baik untuk negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!