Abdul Latiff sedia undur
RANTAU PANJANG - Bekas Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bersedia memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mendedahkan perkara itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) seolah-olah memberi gambaran tidak kisah sekiranya tidak tercalon kerana sudah hampir enam penggal menjadi wakil rakyat.
“Saya sudah bersedia memberi laluan kepada bakat baharu yang lebih bertenaga. Saya dah jadi wakil rakyat selama 35 tahun iaitu hampir enam penggal.
“Dah lama bersedia untuk berundur. Tak ada hal kalau tak dicalonkan, saya dah sampai klimaks, jadi menteri 17 tahun, jadi timbalan menteri dan exco negeri, cukuplah tu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Tebatan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang di sini pada Ahad.
Pada PRU14 lalu, Abdul Latiff yang bertanding atas tiket BN ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya dari parti Pas dan PKR.
Jelas Dr Abdul Latiff, Mersing adalah kerusi kontroversi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan berpandangan calon PRU15 nanti mestilah dari parti Bersatu.
“Ini masa kita tunjuk bakat-bakat yang bersedia berkhidmat untuk rakyat.
“Saya dah nampak pintu keluar tetapi akan terus berpolitik kerana itu adalah wadah perjuangan. Saya akan bantu calon-calon PN di seluruh negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!