Plot bunuh presiden Colombia
BOGOTA - COLOMBIA. Peguam Negara Colombia semalam mendedahkan, pihak berkuasa negara itu berjaya membongkar satu plot serangan pengganas yang menyasarkan pertemuan Presiden Ivan Duque dan pemimpin masyarakat peribumi di wilayah Cauca.
Duque dijadual mengadakan pertemuan itu minggu ini, susulan rundingan yang berjaya menamatkan sekatan selama 27 hari oleh komuniti peribumi di beberapa bandar di bahagian barat daya Colombia.
Difahamkan, sekatan itu telah menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan petrol.
Pada Ahad lalu, kerajaan mencapai kata sepakat untuk melabur lebih daripada AS250 juta (RM1.1 bilion) ke atas masyarakat peribumi sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi menamatkan protes tersebut.
"Kami mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa, ada beberapa kumpulan bersenjata merancang serangan yang boleh menjejaskan keselamatan presiden," kata Nestor Martinez.
Tanpa memberikan butiran, Martinez mendakwa pihaknya mempunyai "bukti elektronik" dan "keterangan dari sumbar yang boleh dipercayai" bagi menyokong dakwaan tersebut.
Tambahnya. maklumat mengenai plot pembunuhan itu telah dikumpul sejak Jumaat lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!