Lembaga Tatatertib KPM bincang isu Cikgu Mohd Fadli Isnin ini
SHAH ALAM - Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijadualkan bersidang pada Isnin bagi membincangkan isu melibatkan seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang sebelum ini mendakwa bakal berdepan tindakan dibuang kerja.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, KPM mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkaitan guru sekolah rendah itu.
Menurut beliau, surat yang dihantar kepada guru tersebut bukanlah surat yang membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.
“Sebaliknya ia bertujuan memaklumkan guru berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh Pihak Berkuasa Tatatertib dan keperluan untuk beliau mengemukakan representasi (penjelasan) bertulis.
“Pihak Lembaga Tatatertib telah menerima surat representasi daripada Cikgu Mohd Fadli pada 14 Oktober 2022.
“Lembaga Tatatertib dijadualkan bersidang pada hari Isnin,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebook KPM pada Ahad.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Mohd Fadli mendakwa telah menerima surat daripada KPM dan bakal dikenakan tindakan buang kerja kerana menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.
Mohd Fadli sebelum itu turut berkongsi tangkap layar surat daripada KPM mengenai tindakan tatatertib yang dikenakan ke atasnya.
Luahan Mohd Fadli itu juga mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mahu bertemu guru berkenaan.
Sementara itu, Pkharuddin berkata, prosiding tatatertib dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 yang diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuk beliau sendiri.
“Saya berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada semua pihak, insya–ALLAH. Terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!