Beli barangan Malaysia bantu rangsang ekonomi domestik

Keberkesanan KBBM dapat dilihat apabila rakyat mula memilih untuk membeli barangan Malaysia. - Foto Bernama
Keberkesanan KBBM dapat dilihat apabila rakyat mula memilih untuk membeli barangan Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan tren hasil jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 membantu merangsang ekonomi domestik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, keberkesanan KBBM dapat dilihat apabila rakyat mula memilih untuk membeli barangan Malaysia, menerusi tren peningkatan jualan bermula sejak beberapa tahun yang lalu termasuk ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Jumlah jualan tahun lepas sahaja mencatatkan sebanyak RM142 juta dan 1.07 juta jumlah unit penyimpanan stok (SKU) melalui marketplace, manakala rekod di pelbagai rangkaian pasar raya besar, pasar raya dan kedai serbaneka mencapai jualan lebih 173 ribu SKU, dan nilai jualan bernilai RM3.08 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Program Promosi Kraf Sempena KBBM 2022, hasil kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada Ahad.

Justeru, Nanta menyasarkan peningkatan jumlah jualan KBBM sebanyak 2.5 peratus tahun ini berbanding tahun lalu, walaupun pelbagai cabaran dihadapi termasuklah krisis inflasi dan kegawatan ekonomi dunia.

Beliau berkata, inovasi produk di bawah KBBM amat membanggakan, kerana ia bukan sahaja meliputi produk makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan dan kecantikan diri, pakaian, aksesori dan kasut, malah melangkaui kepada produk kraf tempatan.

"KBBM ini telah berjaya membantu mengubah persepsi pengguna dalam negara yang dahulunya agak skeptikal dengan kualiti produk keluaran tempatan. Alhamdulillah, orang kita sudah semakin yakin dan dapat menerima produk tempatan,” katanya.

Nanta berkata, penganjuran Program Promosi Kraf Sempena KBBM 2022 dengan kerjasama Kraftangan Malaysia amat bertepatan, bagi mempromosikan produk kraf keluaran tempatan yang beridentitikan budaya Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kempen ini telah bermula sejak 1984 dengan nama Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, kemudian dijenamakan semula dengan nama KBBM pada 2009. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!