Kisah ‘wartawan’ tidak bertauliah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KISAH berlaku dalam sebuah majlis, seorang wanita memberitahu bahawa pada masa kini dia hanya mendapatkan maklumat terkini melalui Facebook (FB) sahaja.

Apa-apa sahaja berita atau cerita yang muncul di timeline, dia akan kongsikan di wall FB miliknya.

Akuinya, dia tidak pasti sama ada perkara tersebut benar atau tidak tetapi itulah yang akan dilakukan.

Wanita tersebut berharap, rakan-rakan yang lain dapat memberi maklum balas di ruangan komen.

Seorang wanita lain pula memberitahu, dia juga begitu, cuma bezanya tidak kongsikan perkara yang dia sendiri rasa kurang pasti.

Hanya membaca untuk dirinya dan akan bertanya pada orang lain mengenai kesahihan berita tersebut.

Akuinya, dia juga akan menggunakan khidmat ‘Mr Google’ untuk mendapatkan kepastian dan maklumat lebih lanjut.

Kadangkala, apabila terlalu banyak maklumat, akan membuatkan dia pening untuk membuat penilaian.

Artikel Berkaitan:

Daripada kedua-dua cerita ini, ada baik dan ada buruknya. Ia menjadi baik jika sumber yang didapati itu adalah daripada sumber sah dan berita yang diterima benar-benar sahih.

Justeru perkara yang dikongsikan oleh kedua-dua wanita ini, lebih ramai akan mendapat maklumat yang betul dan jelas.

Namun apakah akan berlaku jika sumber tersebut tidak benar, tidak pasti atau masih lagi belum dimuktamadkan?

Sudah pastinya perkara tersebut hanya mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan yang akhirnya akan membuatkan ramai orang menjadi pening.

Nak percaya yang mana satu? Si polan A berkata begini, Si polan B pula berkata begitu.

Justeru, laporan Sinar Harian bertajuk PRU15: Awas maklumat palsu pada Sabtu lalu amat bertepatan pada masanya.

Hal ini kerana masyarakat kita perlu dididik supaya bijak menilai berita.

Sumber berita bagaimana yang boleh dibaca, dipercayai, dikongsi serta cerita bagaimana yang perlu diabaikan; baca jangan, percaya apatah lagi.

Dalam zaman ini, berita di media sosial banyak ditulis oleh ‘wartawan-wartawan’ yang tidak bertauliah.

Malah dijangka, lebih ramai ‘wartawan’ yang dipanggil cybertrooper akan muncul.

Lebih banyak bahan berita yang pelbagai akan disiarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jangan terus percaya jika dapat maklumat daripada bahan media sosial yang tumbuh ketika PRU15 dan paling penting jangan kongsi jika diri sendiri kurang pasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!