[VIDEO] Ceramah Muda: Pemuda UMNO Muar nafi terlibat provokasi
MUAR – Pemuda UMNO Bahagian Muar menafikan ahlinya terlibat dalam insiden provokasi ketika Ceramah Mega Muar oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Parit Jawa di sini malam Ahad.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Helmy Latif yang menyifatkan pihaknya menolak politik secara provokasi.
“Ramai yang tanya saya betul ke tak Pemuda UMNO Muar buat (provokasi).
“Saya bagitau kat sini yang saya berani bersumpah tiada arahan daripada saya selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar untuk buat perkara terkutuk ni.
“Saya menentang sekeras-kerasnya. Kami tiada masa untuk ini,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya pada Isnin.
Pada Ahad, Ceramah Mega Muar Parti Muda dilaporkan diganggu oleh sekumpulan ‘mat motor’ ketika Presiden Muda yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi ucapan.
Bagaimanapun, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan ceramah berkenaan diteruskan setelah pihak polis serta sukarelawan mengawal situasi.
Dalam ciapan sama, Helmy berkata, UMNO menolak politik provokasi yang dilihat sebagai budaya tidak sihat.
“Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya berkeras habis-habisan menolak politik secara provokasi seperti ini. Tak kira dibayar atau tidak, ini satu budaya yang tidak sihat dalam politik di negara kita.
“Pentas politik harus dirai dengan terbuka...kita jadilah manusia yang bermaruah. Kita nak lawan, lawan dengan ideologi yang betul. Kita bawa negara ke arah lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!