Dua parah van pekerja rempuh tiang iklan
KLANG - Dua individu parah manakala sembilan yang lain cedera apabila van dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang papan iklan di Jalan Batu Tiga Lama menghala ke I-City di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.17 pagi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 6.27 pagi.
"Mangsa berumur antara 30 dan 40 tahun itu terdiri daripada empat wanita serta tujuh lelaki termasuk pemandu van," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu hadapan.
Bagaimanapun mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba yang terlibat.
Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!