LPP terus atur strategi pembangunan
Pencapaian 50 tahun penubuhan jamin kelestarian bekalan makanan negara
SHAH ALAM - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terus mengorak langkah, memperkukuh fungsi, meluaskan perkhidmatan serta mengatur strategi membantu kerajaan dalam usaha menjamin kelestarian makanan rakyat Malaysia menjelang 50 tahun penubuhannya tahun hadapan.
Pelbagai kejayaan telah dan akan terus dicapai LPP melalui program-program yang dilaksanakan diseluruh negara termasuk melalui penubuhan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
LPP juga berjaya memainkan peranan sebagai agensi pembangunan kepada masyarakat peladang di luar bandar dengan turut membantu ekonomi pertubuhan agar mampu berdaya saing.
“Menjelang penubuhan LPP 50 tahun, pelbagai kejayaan yang telah dan akan terus dicapai melalui program-program yang dilaksanakan diseluruh negara.
“Di Sabah khususnya, LPP Sabah diwujudkan pada 1 April 1993 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 1994 dengan kekuatan bilangan pegawai LPP seramai 197 orang untuk satu PPN dan 17 PPK.
“Kini, PPK terus berkembang menjadi 26 PPK yang terbentuk daripada 770 unit peladang dan dianggotai seramai 80,184 ahli di seluruh negeri Sabah dengan kekuatan bilangan pegawai LPP seramai 297 orang,” jelas LPP dalam satu kenyataan pada Pesta Walet Beluran sempena Sambutan LPP50 di Tapak Tamu Beluran, Sabah yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Sabtu.
LPP menambah, Program Pemerkasaan Usahawan Peladang yang telah meningkatkan ekonomi hampir 300 orang usahawan menjadi antara bukti kejayaan digerakkan agensi itu bagi pembangunan golongan itu di Sabah.
Selain itu, kejayaan juga boleh dilihat menerusi Program Pengukuhan dan Pemodenan Khidmat Mekanisasi dan Automasi Pertanian yang melibatkan perkhidmatan traktor dan jentuai dengan keluasan 14,312.238 hektar tanah pertanian.
“Lapan PPK berjaya mengekalkan Projek Korporat iaitu projek ternakan lembu; tanaman nanas; halia; kelapa kacunan; pisang Sabah; pemprosesan pisang Sabah; sayuran tanah rendah; cili fertigasi; sayuran tanah tinggi; durian Musang King dan fertigasi rock melon.
“Sebanyak 15 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP), lima Agro Bazar dan tiga Kiosk Jualan Terus dapat dikekalkan,” tambah dalam kenyataan itu lagi.
Industri walet
Dalam pada itu, menurut LPP, PPK Beluran telah melangkah setapak lagi dalam industri walet dengan penglibatan di bidang pemprosesan sarang burung walet apabila Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Hasil Lepas Tuai untuk kilang proses walet dengan nilai peruntukan RM1.4 juta telah mula beroperasi.
Katanya, pusat proses tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 800 pengusaha sarang burung walet di daerah Beluran, di samping memberi peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 50 orang anak-anak peladang di daerah berkenaan.
“PPK Beluran menjadi pusat pembelian dan penjualan sarang burung walet di daerah Beluran dengan penglibatan 250 pengusaha yang berlanggan dengan PPK.
“Pusat pemprosesan ini telah pun beroperasi sepenuhnya dengan kerjasama Syarikat Nestlin Malaysia Sdn Bhd,” katanya.
Dr Ronald turut menegaskan industri sarang burung walet ini merupakan satu industri berpotensi besar yang mempunyai nilai eksport yang ketara.
“Industri ini boleh dijadikan sebagai sumber kekayaan baharu untuk negara dan juga mereka yang terlibat dalam pengusahaan berkenaan.
"Beluran ini juga merupakan pengeluar sarang burung walet yang amat ketara di negeri Sabah", tambah beliau.
Untuk rekod, nilai eksport sarang burung walet Malaysia pada tahun 2021 adalah RM1.8 bilion (kenaikan lebih RM400 juta berbanding tahun 2020) manakala nilai eksport bagi tahun 2022 setakat September 2022 adalah RM1.21 bilion.
Pada majlis sama, turut berlangsung sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Walet di antara Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran dengan Syarikat Nestlin Sdn Bhd.
Jelas LPP, MoU yang bernilai RM20 juta untuk tempoh lima tahun itu bakal memberi tumpuan kepada lima aspek iaitu perkongsian kepakaran, strategi pengurusan, perkongsian infrastruktur, khidmat nasihat dan pemasaran hasil.
Selain itu, turut diadakan penyerahan simbolik cek kepada PPK Beluran (Insentif Jentera dan Peralatan Kecil Pertanian, Program Agriprentice dan Program Peningkatan Aktiviti Akuakultur), SMK Beluran (Program My Green Team), Usahawan AgroPelancongan Peladang dan penyerahan kit MAFI Prihatin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!