Kumpul 240kg sampah dari Sungai Chukai
KEMAMAN - Sebanyak 240 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul menggunakan 10 buah bot sepanjang aktiviti membersihkan Sungai Chukai di sini sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022.
Pengarah Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB), Tee Choon Hock berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan pada 12 Oktober lalu dijalankan bersama 200 sukarelawan terdiri daripada kakitangan ESSB, penduduk tempatan dan pelajar sekolah.
"Penganjuran program ini bertujuan untuk mewujudkan serta memupuk kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, terutamanya kebersihan sungai dalam kalangan pekerja dan masyarakat.
"Pemilihan Sungai Chukai sebagai lokasi program kerana ia terletak berhampiran kawasan perindustrian serta terdapat pelbagai aktiviti masyarakat tempatan yang dijalankan di sepanjang sungai ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Choon Hock, aktiviti pembersihan bermula jam 8 pagi itu turut mendapat kerjasama dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kemaman dan badan bukan kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija (GPI).
"Sukarelawan juga turut diberi taklimat dan penerangan mengenai persediaan menghadapi bencana banjir oleh APM selain kempen kesedaran terhadap pelupusan komponen sisa elektrik dan elektronik (e-waste) oleh JAS.
"Kita harap program seumpama ini dapat memberi pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab masyarakat dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!