Pagar kediaman rasmi MB Kedah disimbah cat

A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pagar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon yang terletak di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor disimbah dengan cat berwarna biru dan merah pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian dipercayai berlaku awal pagi selepas petugas di pos pengawal Seri Mentaloon memulakan tugas pada jam 7 pagi.

Menurutnya, kejadian tersebut hanya disedari petugas Seri Mentaloon sekitar 9.55 pagi dan memaklumkan kepada polis.

"Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima aduan daripada petugas di pos pengawal kediaman Menteri Besar yang mengatakan ada kejadian khianat disimbah cat di bahagian hadapan pagar pada 10 pagi.

"Kita turut menerima maklumat daripada orang awam yang melalui jalan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada kerosakan serius dan hanya bahagian hadapan pagar kediaman dikotori cat berwarna biru dan merah.

Katanya, polis turut menjumpai empat plastik berisi cat, yang mana dua plastik diisi cat warna biru dan dua lagi warna merah yang ditinggalkan oleh suspek.

"Anggota polis menjumpai keempat-empat plastik cat tidak jauh dari tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Hanya sebahagian hadapan pagar yang disimbah cat, dipercayai dibaling suspek namun tiada kerosakan serius," katanya lagi.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan lanjut dengan merujuk kepada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan kediaman tersebut.

"Tidak ada CCTV di kawasan kediaman Menteri Besar ini, bagaimanapun kita sedang cuba dapatkan bantuan CCTV berdekatan lampu isyarat Jalan Pantai Johor ini untuk dapatkan maklumat tambahan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden terbabit khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita mohon agar masyarakat elakkan membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh memburukkan lagi keadaan," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati, cat berkenaan mengotori sebahagian besar papan tanda kediaman tersebut selain pokok hiasan berdekatan.

Lampu kecil ‘spotlight’ yang dipasang berdekatan papan tanda pada pintu pagar yang difahamkan baru sahaja ditukar turut terkena tempias cat berkenaan.

Ketika kejadian, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor difahamkan berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!