Real kukuh kedudukan carta La Liga
JUARA bertahan, Real Madrid mengukuhkan kedudukan carta La Liga apabila membenam pesaing utama Barcelona 3-1 dalam aksi Clasico pada Ahad.
Kemenangan skuad bimbingan kendalian Carlo Ancelotti itu sekali gus memberikan Barcelona kekalahan domestik pertama musim ini.
Penyerang berbisa meledak gol pembuka tirai pada minit ke-12 sebelum Federico Valverde menghasilkan jaringan kedua 10 minit sebelum rehat.
Menghampiri penghujung perlawanan Ferran Torres kembali merapatkan kedudukan buat Barcelona selepas menyudahkan dengan baik gerakan Ansu Fati.
Pemain sensasi, Rodrygo turut mencatat nama selaku penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti pada lewat permainan untuk menghadiahkan tiga mata bermakna buat Real.
Real memadam tujuh perlawanan tanpa kalah skuad dari The Catalans itu dalam liga dan menambah derita mereka susulan hampir tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.
Barcelona yang menghuni tangga ketiga Kumpulan C dalam saingan di pentas Eropah itu sekadar mengutip empat mata daripada empat perlawanan.
Skuad The Catalan itu hanya melepaskan satu jaringan dalam liga sebelum aksi Clasico tetapi bocor dua gol pada babak pertama sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Real dalam liga.
“Ada masanya dalam perlawanan kami akan menderita kerana mereka menggerakkan bola dengan bagus. Ada ketika kami semua perlu bermain baik, bertahan dengan bagus dan kami melakukannya,” ujar pemain tengah Madrid, Luka Modric kepada DAZN.
Bagaimanapun beliau menambah, jentera serangan mempamerkan aksi meyakinkan dan berupaya merobek gawang lawan dengan baik.
“Dalam aspek serangan kami meyakinkan, menjaringkan tiga gol dan saya gembira dengan persembahan rakan sepasukan. Saya rasa kami melalui perlawanan yang hebat,” ujar Modric.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!