Kerajaan setuju lupus hutang lapuk peserta Felcra

Ismail Sabri tiba pada Majlis Ramah Mesra bersama para peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil RISDA dan Warga Orang Asli JAKOA di Arena Merdeka pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri tiba pada Majlis Ramah Mesra bersama para peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil RISDA dan Warga Orang Asli JAKOA di Arena Merdeka pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Kerajaan bersetuju untuk menghapuskan hutang lapuk peserta Felcra Berhad berjumlah RM233.8 juta melibatkan 20,000 peserta di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira ketidak mampuan peserta untuk melunaskan hutang lapuk lebih 30 tahun yang disebabkan hasil rendah dan projek kurang berdaya maju.

Menurutnya, sehingga Disember 2021, terdapat 323 projek Felcra membabitkan keluasan 22,173 hektar telah dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju.

"Kalau hasilnya kurang, saya faham macam mana nak bayar hutang. Kalau kita potong, lagi sesak. Jadi kerajaan sedar perkara itu.

"Saya dah dirujuk oleh Pengerusi Felcra akan perkara ini dan pada dasarnya, kerajaan bersetuju menghapus kira hutang peserta-peserta ini yang akan melibatkan kos sebanyak RM233.8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Peserta Felcra Berhad, Pekebun Kecil Risda dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena Merdeka dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ismail Sabri berkata, meskipun persetujuan diberikan, perkara itu secara prosedurnya masih perlu dibawa Mesyuarat kabinet untuk diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat kabinet tidak boleh diadakan sekarang ini kerana kerajaan telah membubarkan Parlimen.

"Kelulusan ini akan tetap jadi kenyataan jika saya dan rakan-rakan lain boleh bermesyuarat semula dalam mesyuarat kabinet nanti," katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sejumlah RM181.5 juta Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 kepada 74,949 peserta di seluruh negara.

Katanya, agihan itu adalah hasil kejayaan projek peserta Felcra sehingga mencatatkan keuntungan yang tinggi.

"Sukacita saya mengumumkan Jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2022 adalah berjumlah RM181.5 juta kepada seramai 74,949 peserta di seluruh negara.

"Bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini, 17 Oktober 2022 dan boleh digunakan oleh peserta Felcra Berhad untuk kegunaan pelbagai perkara," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Felcra Berhad yang mencatat kenaikan hampir RM51 juta atau 38.1 peratus berbanding prestasi tahun lalu.

Jelasnya, Felcra Berhad juga telah berjaya membangunkan tanah-tanah terbiar kelompok kecil dan kurang berdaya maju, menjadi sebuah estet milik peserta dengan kos pengurusan yang minimum iaitu hanya 6.5 peratus sahaja.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Felcra Berhad dalam melaksanakan pembangunan tanah terbiar apabila berjayaa menaikkan nilai tanah luar bandar melebihi 204,000 hektar yang memberikan manfaat kepada lebih 103,000 peserta di seluruh negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, hutang lapuk itu adalah kos perbelanjaan pengurusan tanah dan penanaman kelapa sawit bagi peserta Felcra Berhad yang perlu ditolak selepas hasil kelapa sawit dituai.

Bagaimanapun hasil tuaian kelapa sawit di tanah peserta tidak memadai untuk membayar balik kos yang dibelanjakan oleh Felcra sebelum itu, menyebabkan akaun peserta direkodkan sebagai berhutang dengan pihak Felcra sehingga diwarisi kepada generasi hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!