IAACA tubuh Tabung Juara bantu pegawai anti rasuah terjejas

Abu Kassim semasa menghadiri "Seminar On Anti-Corruption Champions: Sharing Session With Winners of the Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani International Anti-Corruption Excellence Award 2018 - Foto Bernama
Abu Kassim semasa menghadiri "Seminar On Anti-Corruption Champions: Sharing Session With Winners of the Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani International Anti-Corruption Excellence Award 2018 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) menubuhkan 'Tabung Juara' bagi membantu pegawai antirasuah yang terjejas ketika menjalankan tugas mereka.

Naib Presidennya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, Malaysia menjadi negara pertama menyumbang dana kepada tabung itu yang diluluskan penubuhannya, Jumaat lalu.

"Melalui perbincangan, didapati jumlah mereka (pegawai antirasuah) yang menjadi mangsa keadaan ketika menjalankan tugas dengan baik dan betul agak ramai.

“Pertubuhan ini menimbang untuk menubuhkan satu tabung bagi mengumpul dana membantu pegawai ini semasa menjalankan tugas mereka.

“Malaysia menjadi negara pertama menyumbang sebanyak RM500,000 ke dalam tabung ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri "Seminar On Anti-Corruption Champions: Sharing Session With Winners of the Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani International Anti-Corruption Excellence Award 2018, " di sini hari ini.

Abu Kassim yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) berkata, Qatar juga telah menyatakan persetujuan untuk menyumbang dana kepada tabung tersebut.

Beliau juga berkata, bantuan daripada tabung berkenaan merangkumi penawaran pekerjaan kepada pegawai yang terpaksa mencari perlindungan di luar negara mereka, bantuan kewangan untuk mencari tempat tinggal dan sebagainya tanpa mencampuri urusan pentadbiran pegawai dengan negara terbabit.

Katanya, mekanisme tapisan teliti akan dijalankan supaya mereka yang benar-benar menjadi mangsa ketika menjalankan tugas dengan betul akan mendapat manfaat.

Beliau mendedahkan berhubung kes-kes pegawai yang dizalimi kerana mendedahkan penyelewengan, sebagai contoh di Indonesia apabila pegawai antirasuah disimbah asid oleh pihak yang didakwa.

"Terdapat kes di Nigeria di mana pegawai terpaksa melarikan diri meninggalkan keluarga untuk mencari perlindungan di negara lain berbekalkan wang poket yang kecil, kes-kes seperti ini biasa berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam ucapannya, Abu Kassim berkata, kerajaan akan melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional Januari tahun depan.

Katanya, pelan ini sebagai langkah sistematik kerajaan untuk memerangi rasuah secara berterusan.

Seminar yang dianjurkan GIACC, Rule of Law & Anti Corruption Center (ROLLACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (Integriti) itu sebagai platform dalam mempromosi integriti dan memerangi rasuah

Antara pemenang menghadiri seminar berkenaan, termasuk penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Nuhu Ribadu dan Leonard F.McCarthy.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan penutupnya dan melancarkan Garis Panduan Prosedur Adil yang melibatkan strategi liabiliti korporat selaras dengan subseksyen (5) Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Garis panduan itu akan memberi petunjuk kepada organisasi komersial dalam mana-mana industri untuk memastikan mereka mengambil langkah asas dalam syarikat masing-masing bagi meminimumkan risiko rasuah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!