Ringgit terus susut: Pemimpin Amanah bidas sikap BN, PN
SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) membidas sikap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan kerana terus membisu selepas ringgit menyusut ke paras paling teruk dalam sejarah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah, Faiz Fadzil berkata, lebih membimbangkan, ringgit merosot berbanding dua mata wang rakan dagang terbesar negara iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
"Malangnya, BN dan PN dalam kerajaan langsung tidak ada dasar atau mekanisme mengurangkan impak kejatuhan ringgit ke atas perbelanjaan rakyat dan kos perniagaan.
"Pada 14 Oktober 2022, ringgit mencecah RM4.70 berbanding dolar AS. Ini rekod terburuk negara. Ringgit juga jatuh ke RM3.30 berbanding dolar Singapura, iaitu paras paling teruk setakat ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.
Faiz berkata, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), ringgit kebiasaannya berada antara RM3.94 - RM4.20 berbanding dolar AS.
Menurut Faiz, ini antara sebab utama mengapa paras inflasi ketika pemerintahan PH antara yang terendah dalam sejarah iaitu 0.2 peratus berbanding di zaman BN dan PN, inflasi makanan melonjak teruk ke paras 7.2 peratus yang menyebabkan inflasi negara sekarang mencecah kadar 4.7 peratus.
"Kesan kejatuhan ringgit ini cukup parah kepada ekonomi negara. Rakyat Malaysia pula turut akan terhimpit teruk, memandangkan 60 peratus makanan Malaysia diimport dari luar dan kos import makanan setakat 2021 mencecah RM64 bilion.
"Kesannya, harga barang makanan akan terus naik dan ini menekan ekonomi rakyat termasuk golongan B40 dan M40. Gula-gula diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini tidak mampu meringankan beban rakyat terutama golongan miskin bandar," katanya.
Beliau berkata, BN dan PN ibarat burung kakak tua terhadap respon kejatuhan ringgit dengan hanya mengulangi alasan sama dengan menyalahkan faktor pasaran atas kejatuhan ringgit.
"Bukan sahaja enggan menjalankan kawalan modal, malah tiada juga dasar alternatif untuk mengurangkan impak kejatuhan ringgit.
"Sepatutnya diumumkan pemberian subsidi sementara dan bersasar untuk import bahan asas seperti makanan dan sesetengah bahan input perniagaan; pemberian pinjaman modal kerja berkadar faedah 0 peratus atau rendah untuk perusahaan kecil sederhana yang mengimport; meliberalisasi dasar import untuk mengurangkan kos atau mencari negara import alternatif menerusi intervensi segera kerajaan," katanya.
Faiz berkata, dalam keadaan ringgit semakin jatuh, inflasi pula makin mencanak dan pembubaran Parlimen kononnya bagi membentuk kerajaan stabil gagal mendorong kenaikan pasaran ringgit.
"Berikutan kegagalan BN dan PN dalam kerajaan ini, rakyat harus menilai kemampuan mereka dalam membuat pilihan kali ini dan masa depan negara lima tahun ini tidak harus diletakkan kepada mereka yang gagal dan korup," katanya.
Tambahnya, PRU15 ini adalah penentu masa depan dan rekod pemerintahan PH adalah sandaran rakyat bagi menyelesaikan isu ringgit dan inflasi negara yang mencanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!