'Penyatuan Bersatu, Pejuang bukan mudah'
PUTRAJAYA - Penyatuan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dilihat bukan mudah untuk dicapai.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana ia perlu dibawa ke mesyuarat tertinggi parti sebelum dibincangkan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN).
"Bukan mudah untuk berkata 'yes' kita bersetuju...Tidak boleh kerana PN mempunyai pakatan," katanya.
Menurutnya, Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama politik itu.
"Bermakna beliau perlu membawa isu ini dalam mesyuarat tertinggi," katanya menerusi sidang akhbar sempena Hari Pendaftaran Negara di sini pada Isnin
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan baharu kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut.
Sebelum ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik 'sebulu' dengan parti itu bagi menentang UMNO.
Langkah tersebut katanya, untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.
Sementara Muhyiddin pula ketika ditemui pemberita minggu lalu mempertimbangkan idea tersebut sekiranya Pejuang serius dengan cadangan itu.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Hamzah berkata, pihaknya masih lagi meneliti konsep dan strategi parti.
"Saya dengar ada orang kata, ini merupakan ibu kepada pilihan raya, pada saya ini perkara biasa.
"Ibu ke tak ibu ke yang penting kita semua kena bersedia untuk tentukan landskap politik melambangkan majoriti pengundi," katanya.
Hamzah yang juga bekas Ahli Parlimen Larut berkata, pemikiran rakyat terhadap calon dan parti yang mereka mahukan telah meningkat.
"Negara kita memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab dan penuh berintegriti.
"Kalau itu menjadi salah satu 'benchmark' nya, saya berasa pengundi telah pun bijak untuk mengetahui kepentingan masa depan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!