Pegawai JPN akan ke lokasi banjir bantu pengundi
PUTRAJAYA - Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digerakkan ke lokasi banjir bagi memudahkan mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) itu sekali gus membantu mangsa banjir agar dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pegawai JPN bersiap sedia, kita jaga kepentingan rakyat. Kalau dokumen pengenalan diri tiada macam mana mereka hendak mengundi,” katanya menerusi sidang akhbar Hari Pendaftaran Negara ke-74 di sini pada Isnin.
Menurutnya, persiapan rapi telah dibuat JPN dengan memfokuskan kawasan-kawasan yang terjejas.
"Sebab itu kita kata dalam keadaan biasa, kita sentiasa bersedia, sebab dalam Malaysia banjir merata-rata, tidak datang sekali, semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas langkah-langkah diambil JPN bagi memudahkan mangsa banjir mendapat dokumen pengenalan diri yang hilang atau rosak akibat bencana itu.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.
"Sijil kelahiran yang baharu ini ada 'watermark' kerana kita ingin pastikan ia tidak boleh dipalsukan sewenang-wenangnya," katanya.
Beliau berkata, sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukarkan.
“Sijil kelahiran lama masih boleh digunakan, cuma yang baharu kita tingkat keselamatan dokumen kerana ia harus berubah mengikut zaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!