Kes tangkapan dadah di Terengganu meningkat

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 8,345 kes dan 9,055 tangkapan melibatkan jenayah dadah berjaya dilakukan polis Terengganu dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober tahun ini.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 7,650 kes dan 8,559 tangkapan.

Beliau berkata, peningkatan itu didorong oleh pembukaan semula pelbagai aktiviti selepas sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita turut meningkatkan operasi selepas PKP kerana sedar bahawa penjenayah dadah pasti akan mengambil kesempatan untuk melaksanakan semula kegiatan mereka.

"Di bawah kesalahan bekalan kita ada 856 kes dan 1,109 tangkapan; kesalahan memiliki 1,689 kes dan 2,047 tangkapan; ujian air kencing 5,644 kes dan tangkapan manakala di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 156 kes dan 214 tangkapan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan barang kes narkotik bagi program pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu di sini pada Isnin.

Pelbagai jenis dadah termasuk pil kuda, syabu, ganja, heroin, air ketum, ubat batuk dan pil ekstasi bernilai RM2.2 juta akan dilupuskan, melibatkan kes-kes selesai bicara bermula 1997 hingga 2022. - Bernama.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!