DUN Negeri Sembilan lulus Enakmen Anti Lompat Parti

Sidang DUN Negeri Sembilan pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan.
Sidang DUN Negeri Sembilan pada Isnin meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan.
A
A
A

SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri itu.

Usul bagi pindaan itu dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir pada sidang DUN Khas sempena Persidangan Ketiga Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan ke-14.

Aminuddin berkata, RUU yang dibentangkan itu bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.

"Kerajaan negeri memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

"Ini kerana ia melibatkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri," katanya.

Jelasnya, bagi membuktikan keseriusan dalam perkara berkenaan, kerajaan negeri bersetuju untuk merealisasikannya melalui pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, dalam persidangan sama turut meluluskan RUU Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

"Pada masa ini, dilihat terdapat keperluan untuk mengemas kini undang-undang bertulis yang melibatkan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan agar urusan tanah adat tersebut lebih tersusun dan sistematik.

"Oleh itu, penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 ini memfokuskan kepada lima matlamat termasuk meminda Customary Tenure (Lengkongan Lands) Enactment 1960 (Disemak—2017) dan menyediakan teks sahih dalam bahasa Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!