13 Mei sebutan semula kes lelaki cederakan remaja
SABAK BERNAM - Mahkamah Majistret Sungai Besar menetapkan 13 Mei depan sebagai sebutan semula kes seorang lelaki yang mencederakan seorang remaja di sebuah masjid di Pekan Tanjung Karang, 26 Mac lalu.
Majistret, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution menetapkan tarikh itu kepada tertuduh, Anuar Zamhuri Mohd Ismail, 50.
Tertuduh semasa pertuduhan mengaku bersalah, bagaimanapun ketika dalam rayuannya di hadapan majistret menafikan fakta yang dibacakan terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM15, 000.
Mahkamah kemudiannya menolak pengakuan bersalah tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penjamin.
Mengikut kertas pertuduhan, Anuar Zamhuri telah mendatangkan kecederaan terhadap Adam Sufyan Mohd Khabol, 17, dengan menggunakan besi berbentuk lingkaran.
Mangsa ketika itu baru selesai menunaikan solat Isyak sebelum ditahan tertuduh sebelum bertanyakan beberapa soalan dan menuduhnya mencuri wang tabung masjid.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di belakang Masjid Ar Raudhah Tanjong Karang, pada jam 11 malam, 26 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!