Aidil Zafuan kekal bersama JDT hingga musim depan
DESAS-DESUS masa depan bek tengah berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) terjawab apabila dia mengakui masih dahagakan kejayaan bersama skuad juara sembilan kali Liga Super itu.
Pemain berusia 35 tahun itu menegaskan dia masih mempunyai baki kontrak setahun dan sedia untuk kekal berkhidmat bersama JDT.
“Saya masih ada kontrak dengan JDT. Mungkin disebabkan saya jarang bermain jadi ramai yang buat andaian sendiri.
“Apa pun saya masih bersama JDT pada tahun depan,” katanya selepas aksi terakhir Liga Super menentang Sabah FC yang memihak skuad Harimau Selatan menerusi kemenangan 3-0.
Aidil Zafuan yang menyertai Harimau Selatan pada 2013 muncul satu-satunya pemain yang masih kekal bersama kelab itu sejak revolusi besar-besaran dilancarkan pada 2014.
Dia juga muncul pemain paling berjaya dalam saingan Liga Super dengan 10 gelaran juara termasuk bersama Negeri Sembilan pada musim 2005/2006 sebelum meniti kegemilangan dari 2014 hingga 2022 di JDT.
Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu juga mengakui teruja menjulang kejuaraan kesembilan Liga Super dan berazam untuk menambah lagi koleksi trofi.
“Sudah tentu ada perbezaan dari tahun ke tahun. Dengan umur yang ada ini, saya cuba dapatkan sebanyak mungkin (piala). Kita tidak tahu kerana dalam bola sepak ini karier kami bila-bila masa boleh habis,” katanya. - Stadium Astro
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!