Ribuan hilang tempat tinggal akibat banjir di Australia
ANKARA - Beribu-ribu penduduk di Victoria, Australia hilang tempat tinggal akibat banjir yang berlarutan di negeri itu.
Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews mengesahkan seramai 11,000 mangsa telah memohon bantuan, lapor Agensi Anadolu, memetik ABC News.
"Insiden ini telah menjejaskan puluhan ribu orang," katanya.
Banjir itu turut menyebabkan rumah dan jalan raya rosak serta menjejaskan sistem kuasa di beberapa kawasan di negeri ini.
Menurut kerajaan negeri, lebih 10,000 kerja-kerja pembaikan jalan raya telah dilaksanakan manakala 359 jalan raya di negeri ini masih ditutup dan 1,860 kediaman terputus bekalan elektrik.
Kerajaan negeri juga mengumumkan peruntukan AUD$351 juta (AS$218 juta) bagi membantu komuniti yang terjejas banjir dan AUD$165 juta (AS$102 juta) akan dibelanjakan untuk kerja-kerja pembaikan jalan dan pembersihan.
Sementara itu, Perdana Menteri Anthony Albanese turut melawat kawasan yang terjejas di Victoria dan New South Wales.
Pada Ahad, Victoria melaporkan korban pertama akibat banjir membabitkan seorang lelaki berusia 71 tahun yang ditemukan mati di sebuah rumah di Rochester.
Tiga negeri iaitu Victoria, New South Wales dan Tasmania di bawah amaran banjir berikutan hujan lebat melanda kawasan tenggara minggu ini.
Krisis itu berlaku selepas banjir melanda pantai timur pada Mac dan April hingga mengorbankan lebih 20 nyawa. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!