Pemeriksaan kenderaan sukan pemotoran diperketatkan
MELAKA - Pemeriksaan terhadap kenderaan sukan pemotoran akan diperketatkan lagi bagi memastikan kemalangan yang berlaku di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini tidak berulang lagi.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, dalam isu seperti itu pihaknya juga akan mengeratkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar setiap pelumba menitikberatkan aspek pemeriksaan teknikal kenderaan sebelum menyertai perlumbaan.
"JPJ setiap masa perketatkan pemeriksaan khususnya terhadap kenderaan drif atau drag.
"Kita dah ada kelulusan standard terhadap sukan itu termasuk seperti yang berlaku di Terengganu dan akan bekerjasama dengan polis agar segala aspek pemeriksaan teknikal sebelum perlumbaan diambil kira," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ulang Tahun Ke-20 Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) di Tiang Dua, Ayer Molek, di sini pada Isnin.
Pada Sabtu lalu, Sinar Harian menyiarkan seorang pelumba drag maut ketika menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.
Mangsa dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 39, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 1,000 pemandu ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengikuti latihan pemanduan di akademi itu bermula tahun depan.
Ujar beliau, latihan itu supaya tidak akan berlaku kes-kes pemandu ambulans membawa pesakit hingga menyebabkan kemalangan.
"Melalui perjanjian persefahaman dengan KKM akan bentuk latihan atau teknik pemanduan yang lebih selamat dan berhemah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!