Malaysia kaji cadangan kurangkan kos HSR KL-SG

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia sedang mengkaji cadangan yang bertujuan mengurangkan kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan akan terus membincangkannya dengan Singapura sebelum tempoh penggantungan berakhir pada 31 Mei, 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata keutamaan kerajaan ialah mengurangkan hutang negara dan memastikan projek yang berdaya maju dari segi ekonomi dapat menjana kadar pulangan yang boleh diterima.

“Terdapat manfaat ekonomi yang penting untuk meningkatkan jaringan pengangkutan awam antara kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, projek itu perlu berdaya maju dan mampan,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia- Singapura Kesembilan, di sini hari ini.

Lee berkata Singapura memahami Malaysia memerlukan masa untuk mengkaji semula kos dan sebarang pilihan alternatif, walaupun republik itu terus melihatnya sebagai projek yang baik.

“Kami berharap untuk menerima cadangan daripada Malaysia tidak lama lagi, sebagai usaha untuk bekerjasama dengan mereka dan mencari jalan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Menyentuh mengenai projek Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Mahathir berkata Malaysia masih mencari alternatif yang berpatutan dan mampan, manakala Singapura bersedia untuk mempertimbangkan penggantungan projek itu.

Berhubung isu ini, Lee, sekali lagi, berkata Singapura memahami kedudukan Malaysia dan ia akan membangunkan perjanjian tambahan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kesesakan lalu lintas di tambak yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura, Lee memetik Mahathir sebagai berkata RTS Link tidak akan menyelesaikan masalah penunggang motosikal yang ingin memasuki Singapura.

Beliau berkata Mahathir turut menegaskan keperluan untuk meningkatkan kapasiti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di kedua-dua pihak disebabkan jumlah orang yang menyeberangi tambak semakin meningkat.

“Dengan itu, Singapura merancang untuk memperluaskan lagi CIQ kami,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Malaysia dan Singapura sedang berusaha ke arah merangka perjanjian tambahan baharu mengenai projek RTS Link itu.

Loke berkata projek tersebut, yang digantung selama enam bulan, akan melibatkan peguam negara dari kedua-dua negara untuk menggubal perjanjian itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!