MPK peruntuk RM230,000 pasang CCTV pantau sampah haram
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukkan sebanyak RM230,000 untuk pemasangan lima kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kegiatan pembuangan sampah haram di daerah tersebut.
Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata, pemasangan peranti tersebut akan dibuat di tapak pelupusan sampah haram di Lengkuk Selat Selatan dan Jalan Selat Selatan 20, Pandamaran, di sini.
"Permohonan pemasangan CCTV di kawasan ini juga diluluskan dan dalam proses lantikan kontraktor," katanya menerusi satu laporan setelah melawat kawasan-kawasan terbabit pada Jumaat.
Dalam pada itu, Elya Marini bersama-sama ahli Majlis MPK dan Jabatan Teknikal Dalaman MPK turut melawat kedua-dua tapak pelupusan sampah haram terbabit setelah menerima aduan daripada penduduk sekitar.
Katanya, tanah milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang disewakan kepada sebuah syarikat untuk aktiviti penternakan telah disalahguna dan bertukar menjadi tempat pembuangan sampah haram.
"Tindakan kompaun dikenakan kepada penyewa dikenakan di bawah UUK 3 Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen daripada pihak MPK.
"Untuk makluman juga, sepanjang tahun 2022 sebanyak empat buah lori turut disita oleh pihak MPK di kawasan tersebut.
"MPK akan memanjangkan laporan ini kepada JKPTG untuk menyemak semula dan memantau syarat kelulusan dan guna tanah yang diberikan kepada penyewa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!