Qatar tuan rumah Piala Asia 2023
TUAN rumah Piala Dunia 2022, Qatar telah dipilih bagi menggantikan China sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Piala Asia 2023.
Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) atas kejayaan mendapat hak penganjuran Piala Asia 2023 sambil merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) yang turut mengemukakan bidaan.
Shaikh Salman berkata, kemampuan Qatar dan rekod cemerlang dalam menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa amat disegani di seluruh dunia.
"Memandangkan masa persiapan yang singkat, kami tahu kerja keras bermula serta-merta, namun dengan infrastruktur bertaraf dunia sedia ada dan kemampuan menjadi tuan rumah, kami yakin Qatar mampu menjadikan Piala Asia sebagai saingan berprestij,” katanya.
"Saya juga ingin memuji AFC atas profesionalisme dalam mengendalikan proses bidaan yang adil dan telus selain terima kasih kepada rakan kongsi komersial serta penaja atas kesabaran mereka ketika detik sukar ini,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-11 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak Asia itu belum mengumumkan tarikh Piala Asia 2023 manakala Piala Dunia 2022 dijadual bermula 20 November hingga 18 Disember ini.
Pada Mei lalu, AFC mengumumkan China menarik diri sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 kerana keadaan luar biasa yang disebabkan pandemik Covid-19 dan Bolasepak Australia menarik balik bidaan mereka pada 1 September lalu.
Juara bertahan Qatar, yang menjuarai piala tersebut julung kali selepas menewaskan Jepun 3-1 pada final edisi 2019, pernah menjadi tuan rumah pada 1988 dan 2011.
Sementara itu, AFC mengumumkan Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) dan Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) sebagai dua pembida terakhir bagi Piala Asia 2027 dengan keputusan memilih tuan rumah bagi edisi itu diputuskan oleh Kongres AFC pada Februari tahun depan.
AFC berkata, Persatuan Bolasepak Uzbekistan dan Persekutuan Bolasepak Iran secara rasmi menarik balik bidaan sebagai tuan rumah edisi 2027 masing-masing pada 14 Disember 2020 dan 13 Oktober 2020, manakala Qatar turut berbuat demikian selepas memenangi bidaan edisi 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!