'Tidak ada apa yang boleh pecah belah kami'

Ahmad Zahid (dua dari kanan) dan Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika hadir pada Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) dan Ismail Sabri (dua dari kiri) ketika hadir pada Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Isnin.
A
A
A

BAGAN DATUK - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat baik.

Jelas Ismail Sabri, persepsi yang ditimbulkan kononnya hubungan mereka bermasalah hanya cubaan memecahbelahkan parti.

Menurutnya, hubungan baik dengan Ahmad Zahid berlaku sejak zaman persekolahan.

"Sebab itulah apabila timbul pelbagai persepsi berlaku perpecahan di dalam UMNO saya bersama presiden berbincang henti tohmahan. Jangan berpecah-belah kita.

"Tidak ada isu antara saya dengan presiden, tapi nasi tambah luar itu lebih nak lihat kita berpecah untuk mereka. Kita kena bersatu. Saya kenal presiden masa sekolah lagi, orang tak tahu," katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Isnin.

Sementara Ahmad Zahid yang mengesahkan perkara itu memaklumkan mereka kenal sejak tahun 1975 ketika berada di Universiti Malaya dan tinggal sebilik dengan Ismail Sabri.

Menurutnya, tidak ada sebarang perselisihan faham di antara mereka berdua di dalam UMNO.

"Tak payah masuk jarum nak pecah belahkan. Saya harap pertemuan dalam solidariti ini kita ketepikan pandangan berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Saya tahu beliau ada penyokong, saya pun ada penyokong. Beliau juga ada penasihat saya juga ada penasihat. Kita hargai mereka. Kita kena ingatkan penasihat, nasihat yang baik-baik, jangan jadi punahsihat," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, BN bukan sahaja perlu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi menjadi dominan bagi memastikan pentadbiran kerajaan selepas pilihan raya lebih kukuh dan stabil.

"Memang betul saya jadi Perdana Menteri, tapi dalam Parlimen kerajaan kerusi kita tak cukup. Walaupun saya jadi Perdana Menteri, setiap masa kita tertanya-tanya kalau mereka tarik lima orang, kita tumbang.

"Jadi pada PRU15 pastikan kita jadi parti dominan. Kali ini, kita kena menguasai kabinet sepenuhnya sekurang-kurangnya 80 kerusi. Kalau 80 kerusi barulah kita kuat, baru orang nak dengar cakap kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!