Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 67 orang
ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Langkawi dan Kubang Pasu meningkat kepada 67 orang daripada 16 keluarga, setakat 4 petang ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, jumlah mangsa di PPS Dewan Syifak di Langkawi yang dibuka pada 8 malam tadi meningkat kepada 43 orang daripada 11 keluarga berbanding 38 orang daripada 10 keluarga pagi tadi.
Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas di Langkawi ialah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam dan Kampung Telaga Ayer Hangat.
"Turut terjejas, Tabika Kemas Pasir Hitam, Jalan Kelubi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, Jalan Penarak, Kampung Belanga Pecah, SK Seri Lagenda, Simpang Tiga Nyior Cabang, Kampung Padang Gong, Jalan Kedawang dan hadapan Padang Mat Sirat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Muaz berkata, seramai 24 orang daripada lima keluarga dari Kampung Nangmah, Kampung Paya Lantau dan Kampung Nangmi di Kubang Pasu pula ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changloon yang dibuka pada 3 pagi tadi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!