Pasaran getah ditutup tinggi
PASARAN getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, menjejaki peningkatan dalam harga minyak mentah penanda aras, kata seorang peniaga.
Katanya, sentimen pasaran juga dirangsang oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS, dalam persekitaran petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau.
"Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan yang berterusan terhadap pengetatan drastik dalam keadaan kewangan global dan risiko kemelesetan,” katanya.
Menurut peniaga itu, harga minyak pulih semula daripada beberapa kerugiannya minggu lepas apabila lebih banyak anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) menyatakan sokongan untuk pengurangan pengeluaran lebih dua juta tong sehari baru-baru ini, walaupun mendapat tentangan daripada Amerika Syarikat.
Ketika ini, harga minyak mentah penanda aras Brent berada pada AS$91.76 setong.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) lebih tinggi pada 619.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 462.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 615.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 463.0 sen sekilogram. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!