Polis kenal pasti tiga individu terlibat kes gaduh
KUALA LUMPUR - Polis telah mengenal pasti tiga individu yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah premis di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sedang mengesan tiga individu terbabit bagi membantu siasatan.
"Kita telah menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada jam 8.38 pagi semalam, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Noor Dellhan berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
"Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya.
Pada Isnin, tular video berdurasi satu minit enam saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah premis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!