Peminat bengang sepak mula final Piala AFC jam 7 malam

Promosi tiket secara dalam talian memaparkan sepak mula final Piala AFC pada jam 7 malam. - Foto FB KL City FC
Promosi tiket secara dalam talian memaparkan sepak mula final Piala AFC pada jam 7 malam. - Foto FB KL City FC
A
A
A

AKSI final Piala AFC yang menemukan wakil negara, Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kelab Al-Seeb dari Oman pada 22 Oktober yang difahamkan bermula jam 7 malam menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet pada Isnin.

Apa tidaknya sepak mula itu berlangsung ketika azan Maghrib berkumandang yang ketika ini waktunya pada jam 7.01 malam.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sudah pasti mahu mengundang puluhan ribu penyokong, namun masa sepak mula yang tidak sesuai 'menjemput' rasa kurang senang peminat bola sepak di alam maya.

Makluman mengenai perlawanan itu yang tertera menerusi poster pembelian tiket secara dalam talian dimuat naik di Facebook KL City petang tadi yang memaparkan masa sepak mula pada jam 7 malam.

Selepas dimuat naik ia menerima pelbagai reaksi daripada penyokong yang tidak berpuas hati, namun tetap membara mahu turun ke stadium memberi sokongan kepada KL City.

Justeru warganet mahu masa sepak mula tersebut diubah kepada masa yang lebih sesuai bagi memberi peluang kepada umat Islam termasuk pemain menunaikan solat terlebih dahulu.

Seorang penyokong, Farhan Hamzah Dahsyat berharap pihak pengurusan AFC dan KL City dapat mengubah masa tersebut kepada jam 8 atau 9 malam.

“Awal sangat tu. Tengah masuk waktu maghrib. Itu waktu (jam 7) Kuala Lumpur dan Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut meluahkan pendapat ialah Wak Muhammad Jamalullail yang berharap kelewatan masuk ke stadium tidak mengapa asalkan solat pada waktunya.

“Permainan jam 7. Solat maghrib dahulu. Lewat sikit masuk stadium pun tak apa,” katanya.

Seorang lagi penyokong, Mohd Shamsol berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan KL City membuat permohonan rasmi kepada AFC agar sepak mula pada jam 8 malam.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu tinggal selangkah untuk mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) pada tahun 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!