Didakwa keluar kenyataan merapu, Asyraf Wajdi tunjuk bukti

Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf pada Isnin.
Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil mempertahankan kenyataan dikeluarkan mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tertutup antara pemimpin tertinggi partinya dan Pas baru-baru ini.

Ia membabitkan penawaran 47 kerusi boleh dimenangi Pas yang ditawarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ahad menafikan isu 47 kerusi itu disentuh dalam pertemuan tertutup yang dihadiri oleh beliau, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Tuan Ibrahim, perkara dibincangkan dalam pertemuan pada Rabu lalu iaitu sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama PN hanya diketahui oleh empat pemimpin terbabit dan kenyataan Asyraf yang menurutnya tidak terlibat dalam mesyuarat tersebut adalah ‘merapu’.

Bagaimanapun, gambar terbaharu didedahkan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Facebook dan dikongsikan Asyraf menunjukkan terdapat tiga lagi pimpinan kedua-dua parti itu yang turut serta dalam pertemuan berkenaan.

Malah Zambry menerusi hantaran gambar itu turut menyokong kenyataan dibuat oleh Asyraf berkenaan perkara tersebut.

"Dr Asyraf tidak merapu, tidak menipu," ujar Zambry.

Selain Asyraf, turut kelihatan dalam gambar dikongsikan itu ialah Zambry dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Artikel Berkaitan:

“ALLAH menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji,” ujar Asyraf dalam hantaran tersebut.

Menerusi komen di hantaran yang sama, beliau mendakwa, tiada sebarang permintaan yang diberikan oleh mana-mana pihak agar tidak mendedahkan gambar pertemuan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim.

“Lagipun kenapa takut untuk mendedahkan pertemuan yang punya niat yang baik? Tiada apa yang perlu dirahsiakan melainkan Pas takut rakannya Bersatu marah sebab jumpa kembali dengan UMNO secara senyap-senyap!” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!