Video tular gaduh: Pemandu treler ditahan
ISKANDAR PUTERI - Seorang pemandu lori treler ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan dengan seorang anggota polis trafik di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini, yang tular di laman TikTok.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisoner Rahmat Ariffin berkata, pada Isnin, polis mengesan video berdurasi 50 saat memaparkan seorang lelaki tempatan menyatakan telah dipukul oleh seorang anggota trafik di KSAB.
"Hasil semakan mendapati, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota polis trafik terbabit berhubung insiden itu. Semasa menjalankan pemantauan lalu lintas di KSAB, terdapat sebuah lori treler berada di lorong kanan yang dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
Pemandu lori treler itu enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dilakukan malah mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bertindak membuka pintu dan menumbuk muka anggota tersebut sebanyak dua kali dan menendang motosikal.
"Berlaku sedikit pergelutan dan anggota tersebut cuba mempertahankan diri atas tindakan pemandu lori treler itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rahmat berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada Selasa di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!