Aiman tekad pertahan status Raja Bukit
PELUMBA Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff perlu lebih berwaspada bagi mengelakkan risiko terlepas status penyandang gelaran Raja Bukit Bukit (Jersi Merah) menjelang peringkat kemuncak Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini.
Muhammad Nur Aiman, kekal menyarung tersebut bermula di peringkat kedua dari Kuala Klawang ke Raub berkata, perubahan laluan peringkat ketujuh memberikanya kelebihan buatnya untuk terus mengekalkan penguasaaan jersi tersebut.
Laluan asal peringkat ketujuh sepatutnya membabitkan Kuah ke puncak Gunung Raya telah ditukar kepada mengelilingi Pekan Kuah berikutan keadaan cuaca selain banjir dan tanah runtuh berlaku di laluan asal semalam.
"Satu kelegaan juga untuk saya apabila laluan Gunung Raya diubah, dan masih ada peluang untuk mengekalkan jersi ini (merah) dan mungkin menang, jadi saya cuma perlu berwaspada dengan kutipan mata saya," katanya kepada pemberita.
Muhammad Nur Aiman ketika ini terikat 29 mata dengan rakan sepasukan, Jambaljamts Sainbayar, dan diekori rapat pelumba Movistar Team, Ivan Ramiro Sosa Cuervo yang mengumpul 25 mata dalam perebutan gelaran Raja Bukit itu.
"Sainbayar kini fokus dengan Jersi Putih (Terbaik Asia), begitu juga dengan Sosa (Pendahulu Keseluruhan), jadi ancaman saya adalah pelumba dari United Kingdom dan Australia (Hugh Carthy dan Carter Bettles) kerana jurang mata mereka dengan saya juga tidak begitu jauh," katanya.
Jelas pelumba berusia 25 tahun itu, beliau juga menjangkakan perlumbaan akan lebih mencabar menjelang perlumbaan terakhir LTdL membabitkan laluan sama digunakan pada peringkat ketujuh hari ini (Isnin).
"Saya jangkakan perlumbaan akan lebih mencabar, tambahan mereka merupakan pelumba yang agresif, saya perlu berjaga-jaga dan sentiasa mengekori rapat mereka untuk mereka tidak memintas mata saya dalam perebutan Jersi Merah," katanya.
Perlumbaan terakhir hari ini membabitkan jarak sejauh 115.9 kilometer (km) yang menyediakan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!