67 mangsa banjir di Kedah masih di PPS
ALOR SETAR - Seramai 67 mangsa banjir di Langkawi dan Kubang Pasu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah mangsa terdiri daripada 16 keluarga dilaporkan setakat jam 8 pagi Selasa.
Mohd Muaz berkata, seramai 43 mangsa banjir dari di Langkawi masih ditempatkan di PPS Dewan Syifa di Padang Matsirat,
“Antara kawasan terjejas adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Kampung Tua, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam, Kampung Telaga Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah dan Kampung Padang Gong.
“Selain itu, Tadika Kemas Pasir Hitam, Jalan Kelubi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tuba, Jalan Penarak, SK Seri Lagenda, Simpang Tiga Nyior Cabang, hadapan Padang Matsirat dan Jalan Kedawang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohd Muaz, jumlah mangsa banjir bagi daerah Kubang Pasu masih kekal dengan 24 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.
Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Paya Lantau, Kampung Nangmi dan Kampung Nangmah di Changlun.
Tambah Mohd Muaz, tiga sungai di negeri ini iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Pelubang di Kubang Pasu dan Sungai Pendang di Pendang mencatatkan paras waspada, manakala Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR berada pada paras berjaga.
Katanya, Sungai Melaka di Padang Matsirat dan Sungai Melaka di Bukit Kemboja telah kembali ke paras normal.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, kesemua 43 mangsa banjir di PPS Dewan Syifa di Padang Matsirat terdiri daripada 11 keluarga termasuklah lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Menurut beliau, mangsa kekal di PPS yang dibuka sejak jam 8 malam Ahad sehingga keadaan cuaca kembali pulih dan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa selesai.
‘Setakat jam 10 pagi, hujan renyai di beberapa tempat, bagaimanapun pelbagai pihak termasuklah APM dengan peralatan seperti dua ambulans dan dua bot disediakan bagi menghadapi banjir di daerah itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!