TLDM pintas bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara
KUANTAN - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 14 awak-awak kerana menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan Pulau Tioman pada Isnin.
TLDM dalam kenyataannya memaklumkan, bot tersebut antara enam bot nelayan Vietnam yang dikesan berada dalam perairan negara kira-kira 30 batu nautika utara Pulau Tioman.
Menurut kenyataan itu, lima lagi bot asing itu berjaya melarikan diri.
"Pemeriksaan ke atas semua awak-awak yang ditahan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Turut ditemui dan dirampas lapan peti simpanan penuh dengan hasil laut yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kejayaan itu hasil maklumat pencerobohan bot asing yang dikongsikan melalui Rakan Maritim Endau, Rompin.
"Bertindak atas maklumat itu,TLDM berjaya mengesan enam bot nelayan Vietnam di lokasi berkenaan lewat petang pada Isnin.
"Semua bot terbabit cuba melarikan diri ke arah utara sejurus menyedari kehadiran aset TLDM, bagaimanapun kapal KD Pendekar yang sedang melaksanakan Rondaan di Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan Op Kekal Warisan berjaya memintas serta menahan salah sebuah daripadanya," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, susulan penahanan bot bersama awak-awak warga Vietnam itu, pihak TLDM telah menyalurkan maklumat tersebut kepada aset Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui kapal KM Marudu.
"Bot terbabit bersama awak-awak diserahkan kepada KM Marudu untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
"Aset TLDM meneruskan rondaan di ZMM bagi mengesan bot-bot nelayan asing yang telah melarikan diri dan percaya semuanya berjaya keluar dari perairan negara ini," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, melalui kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh rakan maritim serta semua agensi terlibat, cubaan menceroboh sama ada di laut atau darat dapat segera dipatahkan.
"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara, justeru TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa siap siaga melindungi perairan negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!