13 maut jet tentera Rusia terhempas
![Serpihan jet Su-34 yang terhempas di sebuah apartment di bandar Yeysk pada malam Isnin. - Foto AFP](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/10/18/1948665.jpg)
MOSCOW - Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh selepas sebuah jet tentera terhempas kerana masalah enjin di kawasan apartment di bandar Yeysk, barat daya Rusia, menurut agensi berita Rusia pada Selasa.
“Para penyelamat telah selesai menggali runtuhan. Secara keseluruhan, 13 orang maut termasuk tiga kanak-kanak, manakala 19 orang cedera,” menurut seorang wakil Kementerian Situasi Kecemasan yang dipetik oleh agensi berita Rusia berikutan nahas yang berlaku pada malam Isnin lalu seperti dilaporkan oleh AFP.
Seramai 68 orang berjaya diselamatkan, manakala lebih 360 orang telah dipindahkan.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, juruterbang jet tersebut berjaya keluar dari pesawat dengan menggunakan kerusi anjal.
Sebuah jet pejuang Su-34 terhempas di Yeysk ketika melakukan latihan penerbangan dari sebuah lapangan terbang tentera selepas salah sebuah enjinnya terbakar.
Bahan api yang tertumpah semasa nahas itu kemudian menyebabkan api merebak ke bangunan apartment sembilan tingkat.
Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan supaya semua bantuan yang diperlukan diberikan kepada mangsa-mangsa kejadian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!