Ibu lega anak angkat dapat warganegara

Ban Hong (empat dari kiri) dan Norazlee (lima dari kiri) ketika menyerahkan sijil warganegara kepada kanak-kanak itu pada Program Temu Seru JPN Melaka sempena Hari Pendaftaran Negara di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.
Ban Hong (empat dari kiri) dan Norazlee (lima dari kiri) ketika menyerahkan sijil warganegara kepada kanak-kanak itu pada Program Temu Seru JPN Melaka sempena Hari Pendaftaran Negara di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Tiada yang lebih mengembirakan hati seorang warga emas apabila anak angkat yang dijaga sejak lahir mendapat sijil warganegara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Khadijah Padzli, 63, yang mengusahakan ternakan ikan di rumahnya berkata, dia bersyukur kerana ALLAH SWT mendengar doanya selama ini yang sentiasa mengharapkan anak angkat, Muhammad Shafiq Izuddin Aziz Abdul Rahim, 10, mendapat kerakyatan Malaysia.

Menurutnya, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Besar itu diserahkan oleh ibu kandungnya untuk dijaga sebelum wanita itu menghilangkan diri.

"Sebelum ini dia selalu tanya kenapa dia perlu beli buku teks sekolah, sedangkan rakan-rakan sekelas lain mendapat pinjaman buku teks.

"Sayu dan sedih hati saya setiap kali ditanya persoalan itu dan sejak dua tahun lalu saya berusaha membuat permohonan sebelum dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan JPN, " katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Temu Seru JPN Melaka sempena Hari Pendaftaran Negara di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman.

Jelas Khadijah, meskipun kegembiraan itu tidak dapat dikongsikan bersama Allahyarham suaminya, Abd Aziz Hashim yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung, namun itulah harapan Allahyarham untuk melihat Muhammad Shafiq Izuddin Aziz mendapat kewarganegaraan.

"Syukur terima kasih semua pihak yang memudahkan dan membantu proses dokumentasi termasuk JPN Putrajaya dab JPN Melaka sehingga sijil warganegara ini dapat dikeluarkan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Shafiq Izuddin Aziz yang bercita-cita menjadi pramugara berkata, dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membalas jasa dan pengorbanan keluarga angkatnya itu.

"Saya gembira dan selepas ini ibu tak perlu bayar lagi yuran sekolah setiap tahun malah saya boleh bersekolah seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!