Ten Haq tak gentar gugur pemain hambar
PEMAIN berpengalaman Manchester United, Luke Shaw menyifatkan 'bosnya' Erik ten Hag sebagai jurulatih yang berhati-hati dan tegas dalam percaturannya bagi memastikan The Red Devils meraih keputusan positif.
Katanya, jurulatih itu sentiasa menjaga semua orang dan tidak ragu-ragu untuk menggugurkan pemain yang gagal mencapai prestasi terbaik.
Ten Hag mahu memastikan pemain memberi 100 peratus terbaik dan tiada pemain yang terjamin tempatnya dalam kesebelasan utama.
United mengharungi kempen yang suram di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer pada musim 2021/22 dan detik yang memalukan di bawah jurulatih sementara, Ralf Rangnick.
The Red Devils kemudian dibimbing ten Hag yang berhijrah dari Ajax Amsterdam dengan reputasi yang tinggi.
Kehadiran jurulatih itu dilihat mampu membawa perubahan buat United dengan peningkatan prestasi yang baik.
“Ada tanda-tanda yang sangat baik dan jelas tentang apa yang dia mahukan ketika United membuat peningkatan prestasi," ujar Shaw.
Bagaimanapun terdapat juga beberapa kekalahan yang memalukan United apabila tewas dalam aksi derby dengan Manchester City, 6-3 dan diaibkan Brentford dengan kekalahan 4-0.
Kekalahan itu menyaksikan Shaw yang merupakan bek kiri United dan pemain antarabangsa England disisihkan, namun mendapat semula posisinya baru-baru ini.
“Saya gembira dengan prestasi ketika ini, namun perkara yang paling penting ialah pasukan,” katanya.
Shaw berkata, setiap kali dapat peluang dia bertekad untuk memberikan yang terbaik buat pasukan.
“Perkara yang baik dengan ten Hag ialah jika anda tidak bermain dengan baik maka anda tiada peluang untuk diturunkan.
“Sebelum ini ia tidak berlaku tetapi saya fikir perkara yang baik tentang pengurus ini ialah dia memastikan semua orang sentiasa komited.
“Dia memastikan semua orang 100 peratus terbaik setiap hari. Jika anda tidak melakukannya maka anda tidak akan bermain. Itu satu perkara yang positif. Kita semua tahu itu. Jadi saya perlu terus bekerja lebih keras," katanya.
Ten Hag tidak gentar untuk membuat keputusan besar termasuk meletakkan kapten, Harry Maguire di bangku simpanan selepas kekalahan kepada Brentford, selain turut merehatkan pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo yang bergelut dengan prestasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!