Dua projek RTB skala besar di Perak tahun depan

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) ketika meninjau Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1, Projek Saliran Mesra Alam ketika lawatan kerjanya di Sungai Siput pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Nasib)
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) ketika meninjau Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1, Projek Saliran Mesra Alam ketika lawatan kerjanya di Sungai Siput pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Nasib)
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Dua projek rancangan tebatan banjir (RTB) berskala besar akan dilaksanakan di negeri ini tahun hadapan membabitkan peruntukan lebih RM100 juta.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, projek berkenaan adalah RTB Sungai Kinta Fasa 2 dan RTB Trolak bagi mengatasi masalah banjir besar sepertimana berlaku sebelum ini di kawasan itu.

"Kerajaan pusat prihatin dengan menyegerakan peruntukan dan meluluskan cadangan daripada kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai projek ini.

"Peringkat rancangan dan kajian telahpun sempurna diselesaikan dan projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat antara Januari dan Mac tahun hadapan.

"Peruntukan lebih RM100 juta telah diluluskan, ini termasuklah bagi tujuan pengambilan tanah," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1, Projek Saliran Mesra Alam dekat sini pada Selasa.

Projek pembangunan yang bernilai hampir RM21 juta itu telah diusahakan sejak Ogos tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya Februari 2024.

Penekanan skop kerja yang diberi keutamaan adalah kerja pembersihan kawasan, pengorekan, mendalamkan serta melebarkan sungai, pembinaan dan menaik taraf saliran, pembinaan diversioan channel, serta kolam takungan.

Mohd Zolkafly berkata, projek berkenaan berupaya meningkatkan sistem perparitan dalaman dan sungai bagi mengurangkan masalah banjir kilat di kawasan perbandaran dengan fokus empat sungai utama dalam Mukim Sungai Siput Utara iaitu Sungai Buloh, Sungai Nyamuk, Sungai Bemban dan Sungai Sintang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 penduduk di lebih 10 taman perumahan daripada ditenggelami air semasa musim hujan lebat.

"Diharap kejadian banjir dapat dikurangkan atau tiada lagi berita mengenai banjir di kawasan ini walaupun hujan lebat setelah projek ini siap," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Nasib Jaffar, 63, dari Taman Kledang di sini berkata, masalah banjir di kawasan itu telah berlarutan sejak 12 tahun lalu.

Menurut pesara kerajaan itu, setiap kali hujan walaupun tidak sampai dua jam, kawasan itu akan banjir hingga air masuk ke dalam rumah dan merosakkan harta benda penduduk.

"Dengan adanya projek ini, kami dah tak perlu risau, kalau hujan sampai empat jam pun kami tetap boleh tidur lena," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!