Malaysia-Taiwan kukuh kerjasama
HUBUNGAN perdagangan dan ekonomi antara Malaysia dengan Taiwan boleh dibangunkan secara lebih mampan selepas tranformasi Dasar Baharu Pandang ke Selatan (New Southbound Policy) dilaksanakan oleh kedua-dua negara.
Walaupun kedua-dua negara itu tidak menandatangani perjanjian perdagangan bebas, namun Malaysia dan Taiwan masih boleh bekerjasama terutama dalam industri bioteknologi, e-dagang dan industri halal.
Selain itu, industri halal adalah antara peluang Malaysia untuk memanfaatkan Taiwan sebagai hab industri halal di negara Asia Timur.
Ketua Setiausaha Biro Perdagangan Luar Negeri Kementerian Ekonomi Taiwan, Nick K Ni berkata, selaras dengan dasar berkenaan, Taiwan agresif membangunkan industri halal bagi mewujudkan suasana persekitaran mesra halal di negaranya yang boleh diambil peluang oleh Malaysia.
“Melalui dasar diperbaharui ini, Taiwan terbuka dalam mewujudkan kerjasama saling menguntungkan antara kedua-dua negara khususnya dalam jangka panjang bagi industri halal,” katanya menjawab soalan wartawan Sinar Harian yang mewakili Malaysia dalam program lawatan wartawan Indo-Pasifik ke negara itu, baru-baru ini.
Menurut Nick, bertitik tolak daripada usaha Biro Perdagangan Luar Kementerian Hal Ehwal Ekonomi negara berkenaan melalui Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan yang menubuhkan Pusat Halal Taiwan pada April tahun 2017, negaranya berpeluang menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia berhubung penglibatan beberapa mekanisme dari segi aspek latihan dan perkongsian maklumat industri halal.
Katanya, pada tahun lalu, kedua-dua pihak berpeluang menganjurkan enam seminar yang menampilkan penglibatan tenaga pengajar Malaysia.
Penyertaan Expo Taiwan di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu pula mewujudkan peluang perniagaan bernilai AS$1.15 juta (RM4.71 juta) melibatkan kehadiran pengeluar-pengeluar produk halal bagi sektor makanan, minuman serta kosmetik halal, kata Nick.
“Kedua-dua pihak akan meneruskan kerjasama serupa pada tahun 2019 ini. Antaranya mengadakan seminar dan sesi padanan perniagaan dengan memberi tumpuan kepada produk makanan halal yang bakal berlangsung pada Jun depan, selain industri kosmetik halal pada September,” jelas Nick.
Tambah beliau, usaha Malaysia dan Taiwan untuk mewujudkan persekitaran mesra halal di Taiwan juga kini lebih padu apabila Pusat Halal Taiwan menjadi satu-satunya unit asing yang memenangi anugerah anjuran Majlis Pelancongan Malaysia melibatkan persekitaran dan infrastruktur yang mesra Muslim.
“Pada tahun 2018, hampir 530,000 pelancong Malaysia melawat Taiwan. Malaysia telah menjadi sumber terbesar pelancongan dari Asia Tenggara ke Taiwan. Ini menunjukkan pencapaian awal hasil kerjasama dua hala antara Malaysia dan Taiwan,” katanya.Inisiatif Taiwan galak pertukaran idea dan pemikiran
Lawatan rombongan wartawan dari Indo-Pasifik adalah antara usaha Kementerian Luar Taiwan (Mofa) untuk mendekatkan negara itu dengan negara-negara kerjasama di bawah Dasar Baharu Pandang ke Selatan.
Antara program lawatan ialah kunjungan ke Taiwan-Asia Exchange Foundation (Taef), sebuah yayasan berorientasikan pusat pemikir dalam usaha menjayakan Dasar Baharu Pandang ke Selatan.
Menurut Pengerusinya, Dr Hsin Huang Michael Hsiao matlamat Taef adalah untuk menggalakkan hubungan yang komprehensif antara Taiwan dan negara Asia Tenggara serta Asia Selatan melalui kerjasama dan pertukaran idea dalam bidang utama iaitu aspek pemikiran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin-pemimpin muda.
“Fokus Taef adalah membina mekanisme baharu untuk kerjasama serantau dalam kalangan masyarakat Asia termasuk Malaysia. Menjadi matlamat kami untuk menanamkan prinsip Dasar Baharu Pandang ke Selatan bagi Taiwan bersama negara ASEAN serta negara-negara Asian Selatan menerusi dialog serantau sambil menonjolkan komitmen serta sumbangan Taiwan ke arah pembangunan Asia melalui inisiatif serta kerjasama konkrit antara Taiwan dan negara-negara rakan lain di bawah dasar baru itu.
“Ia bertujuan untuk menyatukan masyarakat serantau di Asia dan mewujudkan perkongsian kerjasama dalam jangka panjang,” katanya.
Menyentuh sedikit mengenai Taiwan, negara yang dikenali sebagai Permata Asia itu sebenarnya memiliki banyak tempat menarik yang boleh diteroka sama ada sebagai pemain industri atau untuk pelancongan.
Misalnya, lawatan wartawan ke makmal kereta milik Taiwan yang sedang menguji reka cipta teknologi kereta tanpa pemandu kini sedang berada pada landasan melengkapkan penyelidikan serta pembangunan (R&D) teknologi itu.Dasar Baharu Pandang ke Selatan dilancarkan Presiden Tsai-Ing-wen dua tahun lalu.
Ia bertujuan memperkuat hubungan perdagangan dan ekonomi Taiwan dengam negara rakan.
Taiwan mencari ikatan lebih erat dengan Malaysia dalam Dasar Baharu Pandang ke Selatan.
Antara negara di bawah Dasar Baharu Pandang ke Selatan termasuklah:*Anita Abu Hasan mengikuti trip media Indo-Pasifik bersama Mofa Taiwan dalam usaha memperjelaskan transformasi Dasar Baharu Pandang ke Selatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!