Paras air Sungai Pendang lepasi tahap amaran

Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Sungai Pendang pada Selasa. - Foto Ihsan APM Kedah
Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Sungai Pendang pada Selasa. - Foto Ihsan APM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Paras air Sungai Pendang di Pendang dilaporkan melebihi tahap amaran setakat jam 1 petang pada Selasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, paras air telah mencecah 2.66 meter (m) melepasi tahap amaran 2.5 m berbanding paras bacaan 2.60m pada Isnin.

Menurutnya, bacaan paras air itu diperoleh dalam pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang di kawasan yang berisiko dinaiki air pada jam 11 pagi hingga 1 petang.

“Melalui pemantauan, paras air di beberapa kawasan seperti Kampung Pondok Haji Husin, Kampung Seberang Pendang, Kampung Bonggol Kambing dan Kampung Sukamari makin meningkat.

"Kita dapati sebuah rumah di Kampung Sukamari sudah dimasuki air, manakala air mula naik di halaman rumah penduduk di Kampung Seberang Pendang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, anggota APM Pendang terus melakukan pemantauan di lokasi ‘hotspot’ banjir bagi mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia.

Katanya, ia berikutan paras air semakin naik dan cuaca tidak menentu, namun keadaan masih terkawal.

"Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Anggota APM Pendang bersiap sedia sekiranya penghuni di kawasan terlibat perlu berpindah dan mengingatkan penduduk terjejas supaya bersiap sedia dari semasa ke semasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!