[VIDEO] DUN Sabah tidak bubar, empat ADUN nafi keluar GRS
KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan malah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga menafikan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berikutan tular empat ADUN keluar GRS dan ia dijadikan agenda parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Khairul Firdaus berkata, setiap kali pilihan raya, permainan politik seperti itu adalah biasa dimainkan oleh semua pihak tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.
"Khabar angin mengatakan empat ADUN akan keluar daripada Bersatu dan seterusnya GRS itu tidak benar malah keempat-empat ADUN itu sudah buat penafian.
"Apabila dengar khabar angin sebegitu, memang ada pihak akan mengambil kesempatan dan seterusnya mengatakan DUN Sabah bakal dibubarkan," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sabah FC dan Konsortium Ejen Pelancongan Sabah, di sini, pada Selasa.
Ditanya mengenai Undang-undang Tubuh Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang belum dibentangkan, beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi mengakui jika ia dilaksanakan sudah tentu ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda tidak akan bertindak keluar parti.
"Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sudah menjelaskan akan bentangkan berkenaan dengan RUU itu di DUN Sabah pada penghujung November.
"Apabila ia diluluskan di DUN, mungkin permainan politik akan berubah dan kita berdoa supaya lebih sihat dan setiap perubahan yang dilakukan itu ada kebaikan untuk Sabah, itu saja matlamatnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!